Thursday, 5 January 2012

اهلا وسهلا 2012

“Semakin hari semakin pantas masa berlalu. Semakin bertambah umurku. Semakin hari semakin dekat langkah ku menuju ketetapan itu, kematian. I am full-time muslim, there's no such thing as a part-time muslim. Bismillah ar-rahman ar-rahim 2012”


“Dengan bermulanya tahun baru 2012 ini, marilah sama-sama kita doakan semoga najah dalam imtihan dunia mahu pun akhirat, amin.”


“Andai hati kosong tak berisi apa-apa, apalah erti hidup bertahun lamanya, andai jasa sekelumit cuma. Muhasabah tahun baru.”


            Lihat, pelbagai ‘status’ di ‘update’ di Facebook oleh sahabat-sahabat kita menjelangnya tahun baru, tahun 2012.


            “Cepatnya, dah masuk tahun 2012 dah.”


            “Kejapnya, dah petengahan tahun.”


            “Macam tak percaya je, dah nak habis tahun dah.”


            Dialog-dialog ini biasa kedengaran seiring beredarnya masa. Kehidupan manusia pula sangat berkait rapat dengannya. Jika dihitung setahun yang telah berlalu, kita telah pun menggunakan sebanyak 8760 jam. Percaya atau tidak? Percayalah. Sekiranya dilihat pada angka, ia merupakan satu jumlah yang banyak, namun berpijaklah di bumi nyata. Masa itu tersangat pantas sebenarnya. Buktinya? Kita sudah berada di tahun yang baru.


            Tahun baru. Azam baru. Itu yang terlintas di fikiran apabila memikirkan tentang tahun baru.


            Setuju atau tidak, jika dikatakan, perkara-perkara baru sering mempengaruhi diri kita? Mungkin beberapa contoh dapat membantu kita menentukan penyataan tersebut benar atau salah. “Saya baru je balik dari Kem Anak Soleh, saya nak jadi anak yang baik.” “Saya baru je beli rumah ini, saya akan pastikan ia sentiasa kemas.” Lihat, ‘baru’ sering menjadikan kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakukan sesuatu. Bolehkan hipotesis tersebut diterima? Ia sekadar pendapat, bak kata Dr. HM Tuah, tak wajib betul, harus salah.


            Jadi, apabila tahun baru menjelang, maka setiap orang mula memikirkan tentang azam. Ya, azam tahun baru. Asyik memikirkan tentang azam yang baru, sehingga kita terlupa mengenai azam kita di tahun yang lepas. Terlaksanakah? Gagalkah? Atau kita langsung lupa mengenai azam kita di awal tahun lepas? Atau kita langsung tidak ingat bahawa pada awal tahun lepas kita pernah berazam itu dan ini?


            “Buat apa fikir yang dah lepas, bukan boleh undur balik pun”, kata seorang sahabat. Benar kata-katanya. Kita takkan pernah dapat untuk kembali ke masa yang lalu. Namun, apabila kita memikirkan sesuatu perkara yang dah berlalu, kita ada pilihan, untuk apa kita mengenangkan perkara yang dah berlaku, sama ada kita hanya sekadar menyesali perkara yang telah terjadi atau kita menyesal dan mengambil iktibar untuk memperbaiki keadaan kita pada hari ini. Teringat pada kata-kata Billy Graham, ‘you can’t change the past, but you can change the future’.


            Justeru, tidak salah untuk kita sesekali menoleh ke belakang bagi mengambil ‘ibrah. Kita ingat kembali azam-azam kita dan fikir, adakah kita berjaya merealisasikannya? Jika berjaya, apakah yang kita lakukan untuk mencapainya? Sekiranya sebaliknya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kita gagal menjadikannya kenyataan? Ya, kita ‘post-mortem’ diri kita sendiri.


            Azam tahun baru pula, jangan hanya berkobar-kobar di awal tahun baru. Pastikan setiap hari yang kita lalui, kita terus bermotivasi untuk mencapai apa yang kita inginkan. Untuk itu, bagaimana sekiranya kita berazam di setiap hari yang baru? Hari baru. Mungkin perkataan ‘baru’ di situ dapat memberikan impak pada kita, agar terus bersemangat untuk merealisasikan cita-cita kita. Sebelum kita lelapkan mata, kita fikir kembali azam-azam kita dan apa yang telah kita lakukan pada hari ini untuk mencapainya. Mana-mana perkara yang kita fikir ia seharusnya tidak lakukan, kita bertekad tidak akan melakukannya pada esok hari. Insya-Allah, esok akan menjadi hari yang lebih baik untuk kita.


Mengetahui tanpa kesedaran, sesuatu yang tidak bermakna. Sekadar menyedari, tanpa ada perancangan untuk sesuatu perubahan, tidak akan mengubah apa-apa. Perancangan yang tidak diiringi pelaksanaan hanya tinggal perancangan. Pelaksanaan akan menghasilkan kepuasan dengan istiqamah.


Rumah terbina dengan sebuah lakaran, seterusnya proses pembinaan untuk menjadikan ia benar-benar sebuah rumah.


            Renung-renung dan fikir-fikirkan.


“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka.

No comments:

Post a Comment